Thursday, August 30, 2012

Kisah Aidilfitri dan buku 'Bukan Sekadar Resepi'

Di pagi raya aidilfitri lalu, hati tersentuh dek teguran orang tua kerana masakan kurang manis. Bingung pun ada sebab dalam satu rumah, ada pelbagai lidah, pelbagai citarasa. Ada yg nak lebih manis, ada nak yg kurang manis, ada yg nak pedas, ada yg tak nak pedas, ada nak kurang masin dan sebaliknya.. Nak diturutkan semua kehendak, carca marba lah jadinya. Itulah kuasa Allah Ta'ala, mengurniakan citarasa berlainan pada setiap manusia. Menjadi orang dapur di kala keramaian keluarga bukanlah satu perkara mudah dan saya bukan pakar dalam hal ini, namun saya gagahkan juga. Alah bisa, tegal biasa.. pujuk hati ini.

Namun, teguran di pagi itu menyebabkan 'mood raya' saya hilang walhal teguran itu hanyalah biasa-biasa saja yg harus diambil positif. Nadanya pun ikhlas, bukan gaya memerli atau mencerca. Nampaknya bisikan iblis yg baru terlepas dari rantai Ramadhan hampir berjaya. "Lepas ni, kalau masak kat rumah xxx, kalau ada orang ni, saya dah tak nak masak xxx" luahan hati kepada suami sewaktu perjalanan ke masjid untuk solat raya. Suami hanya diam, sesekali memberi respon yang nadanya tidak mengiyakan atau menidakkan. Itu yg saya perlukan diwaktu ini, hanyalah pendengar setia, bukan penasihat atau kaunselor kerana emosi yang masih di luar tahap kewarasan. Masakan tersebut memang biasa saya masak pada hari raya atas permintaan ramai terutama suami namun bila berdepan dengan pakar masakan seorang ini, emosi saya tewas kerana sering di'komplen'. Astaghfirullah. Seusai sesi bersalaman dan bermaafan, saya termenung memikirkan tindakan saya yang terlalu mengikut emosi sebentar tadi.

Di rumah mak sendiri, sekali lagi saya ditegur tapi resepi yang lain pula. "Engkau ni kalau masak kuah kacang selalu pekat. Kena cairkan sikit dan lebihkan manis". Anehnya kali ni saya tak pula rasa apa-apa. Mungkin kerana ibu sendiri yg menegur. Hmm.. betul la tu, kalau dah 2-3 orang menegur, perlu lah dibaiki masakan tu. Alhamdulillah ada kakak ipar yg 'sporting' memberi tunjuk ajar macam mana nak baiki resepi kuah kacang dan sudah pun dipraktikkan sewaktu membuat jamuan raya di rumah sendiri baru-baru ini.

Sewaktu ke kedai buku MPH baru-baru ini, terdetik untuk membeli buku 'Bukan Sekadar Resepi' nukilan Pn Roza, isteri kepada Prof Kamil yg terkenal dengan buku Travelog Haji dan blognya 'Kehidupan Ringkas tapi Signifikan'. Ya Allah, syukur saya dipertemukan dengan buku ini, Alhamdulillah. Baru saya sedar banyaknya kesilapan saya sewaktu menyediakan juadah keluarga... bukan tersilap ramuan resepi tetapi tersilap cara menyediakan resepi. Antara petikan berharga dari buku ini ialah:

  1. 'Bukan resepi yang tidak betul, tetapi ia disebabkan seseorang itu kurang pengalaman dan pengamatan'.
  2. 'Tiada satu pun makanan yang ada di dunia ini tersalah adunan atau resepi. Barangkali bahan-bahan yang digunakan adalah sama, cuma bancuhan atau cara yg berbeza menjadikan ia sesuatu yg berlainan'.
  3. 'Sesetengah mereka yg dikurniakan Allah kelebihan seperti pakar memasak, barangkali sudah merasakan diri mereka hebat sehingga lupa dari mana asal usul ilmu (ilmu dan ilham itu datangnya dari Allah)'.
  4. 'Sesuatu yg menyeronokkan tentang percubaaan memasak menggunakan resepi baru ialah melihat hasil akhir yg bakal kita terima. Apapun hasilnya, jangan anggap ia sebagai kegagalan. Boleh jadi ia boleh dianggap sebagai resepi baru'. Dan banyak lagi tips-tips dan resepi masakan yg berharga... 
  5. Kesimpulan yang dapat saya berikan setelah khatam buku ini: Ketika memasak, ikhlaskan hati, banyakkan zikir dan niat semoga masakan air tangan kita ini menjadi penjalin kasih sayang dan persaudaraan serta menambahkan rasa syukur kepadaNya, bukan hanya memuaskan lidah dah mengenyangkan perut. Semoga Allah memberkati Pn Roza sekeluarga..



No comments:

Post a Comment